Thursday, November 29, 2012

Najib perlu berundur jika benar-benar insaf


IPOH: Dewan Pemuda PAS Perak melihat Perhimpunan Agong Umno (PAU) kali ini seoalah-olah tiada arah tuju.

Bendaharianya, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar berkata, pimpinan dan perwakilan menggunakan perhimpunan kali ini sebagai medan untuk menghentam dan memfitnah Pakatan Rakyat.

Katanya, pimpinan Umno hanya sibuk menghentam Pakatan Rakyat dan tiada langsung usaha gerak kerja dan strategi yang dicadangkan serta dibincangkan untuk menghadapi PRU13.

“Semua perwakilan daripada pemuda, wanita dan pimpinan tertinggi hanya menghentam dan memfitnah sebaliknya tiada langsung idea, strategi, dan gerak kerja yang bernas dilontarkan daripada perwakilan,” katanya.

Menurutnya, perwakilan seharusnya menggunakan perhimpunan kali ini untuk memuhasabah diri dan mencari punca kenapa sokongan masyarakat kepada parti itu semakin berkurang.

Fakhrulrazi berkata, pemimpin Umno seolah-olah meragui akan kesetiaan ahli sendiri apabila terus menyarankan agar tidak mempercayai agenda Pakatan Rakyat.

“Mereka seolah-olah tidak yakin dengan sokongan ahli sendiri dan berusaha untuk memberi kepercayaan tinggi ahli kepada Umno,” kata beliau lagi.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menjelaskan, suasana ini menggambarkan Umno semakin terdesak untuk meraih sokongan termasuk ahli sendiri.
Ketika ditanya tentang permohonan maaf yang diajukan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya, beliau berkata, ternyata Najib mengakui pelbagai kekhilafan dan kezaliman yang telah dibuat sepanjang lebih 55 tahun memerintah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Najib menganggap kesilapannya adalah perkara biasa dan mudah sahaja meminta maaf.

Kata beliau, Najib seharusnya berundur dan melepaskan jawatannya jika beliau benar-benar insaf akan perbuatannya seperti yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin di Negara lain.

“Permohonan maaf tersebut menggambarkan pelbagai kezaliman yang telah Umno lakukan sebelum ini dan Najib melihat perkara ini sangat kecil dan mudah dimaafkan.

“Sebenarnya rakyat akan memohon maaf kepada Umno kerana tidak lagi memberi sokongan kepada mereka dalam pilihanraya yang akan datang,” tegas beliau.

Wednesday, November 21, 2012

Sekitar Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia

Alhamdulillah.. saya turut berkesempatan bersama-sama perwakilan lain dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) di Kota Bharu, baru-baru ini..

Moga muktamar kali menjadi satu tonik dan kekuatan kepada Pemuda PAS dalam mengahadapi PRU13 nanti.

Ayuh Pemuda! Gandakan usaha dan mencapai Matlamat











Saturday, October 13, 2012

Kerajaan harus teroka pendapatan baru

Kerajaan BN seharusnya meneroka sumber pendapatan baru untuk meningkatkan pendapatan negara.

Bendahari Pemuda PAS Perak, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar berkata, kerajaan tidak lagi hanya bergantung kepada hasil bumi seperti petroleum sahaja.

Menurutnya, jika dilihat bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan hampir RM230 bilion untuk dibelanjakan yang dibiayai oleh sumber hasil berjumlah RM190 bilion.

Beliau berkata, apabila berlakunya situasi kekurangan pendapatan untuk menampung perbelanjaan, kerajaan terpaksa mengambil pinjaman hutang pada kadar RM40 bilion untuk menampungnya.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Malaysia berkata, kerajaan perlu bijak berbelanja secara mampan dalam keadaan negara terlalu bergantung kepada sumber berkaitan petroleum dalam situasi Petronas berhadapan dengan ketidaktentuan pasaran harga minyak dunia di samping rizab bekalan minyak di perairan Malaysia yang kian mencabar.

"Inilah pertimbangan dan kebijaksanaan yang perlu ada pada seorang Perdana Menteri yang kerajaannya berpendapatan RM200 bilion setahun dan bukannya hanya berbelanja seperti menabur dedak kepada ayam tanpa menghiraukan hutang yang semakin kronik," ujar beliau

Fakhrulrazi berkata, kerajaan haruslah memperkenalkan iklim cukai yang mesra rakyat dan mesra pelabur, mengkaji mekanisma agihan subsidi dan bantuan kebajikan yang lebih efektif, penyusunan semula agihan peruntukan kepada sektor produktif khususnya pendidikan dan kesihatan, serta menghentikan ketidakcekapan dan ketirisan dengan pelaksanaan sistem tender yang telus.

"Kerajaan tidak perlu asyik menabur gula-gula dalam situasi sekarang, saya yakin rakyat semakin bijak dan ketika ini mood rakyat memang mahukan perubahan," tegas beliau.

Monday, October 8, 2012

Pakatan Rakyat lebih memahami kehendak golongan muda


Pakatan Rakyat ketika ini dilihat cukup mantap dalam menghadapi PRU13. Hubungan antara ketiga-tiga parti dilihat mengancam kedudukan BN. Aspek pemuda sangat penting dalam menentukan kemenangan. Wartawan Perakite Daily sempat menemu bual Bendahari Pemuda PAS Perak yang juga Timbalan Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Pusat, Ustaz Mohammad Fakhrulrazi Mohd Mokhtar baru ini.

Pemuda PAS merupakan sebagai sayap penting bagi PAS dan dilihat lebih menonjol daripada pemuda komponen lain. Bagaimana kerjasama yang dimainkan oleh sayap pemuda masing-masing?

     Setiap sayap parti ini ada penyokong-penyokong masing masing ada. Bagaimanapun hubungan kami tutup erat dan kukuh. Kita tengok hubungan antara kaum ini kini dilihat semakin akrab selepas PR mentadbir Perak sebelum ini kita lihat PAS nak mendekati orang-orang Cina cukup susah begitu juga DAP nak mendekati orang melayu susah.

PAS Lebih ramai dalam kalangan orang-orang agama dan kita terpaksa menggunakan khidmat PKR dan DAP untuk mendekati golongan bukan Islam. Hasilnya penyokong golongan muda semakin meningkat.

Apakah cabaran Pemuda PAS dalam mendekatkan diri dengan golongan muda?

    Cabaran yang pertama dari sudut luang untuk mendekati golongan muda itu sendiri. Kalau dalam PAS, kita masih menghadapi masalah kerana kebanyakkan golongan muda ini pergaulannya sangat meluas.

Mahu masuk dalam kelompok mereka susah kerana ada pemuda-pemuda Pas yang tidak pergi ke tempat-tempat seperti kelab-kelab malam, kawasan mat rempit dan sebagainya. 

Bagaimanapun dengan bantuan rakan-rakan lain, kini sudah mula dapat mendekati golongan ini dan memahami masalah serta penyelesaian mereka.

Kita bagi perhatian kepada orang muda malah banyak perbincangan dan sesi dialog dibuat tetapi jentera yang mahu melaksanya terbatas. Dari segi sokongan memang kuat. Sebagai contoh, apabila PAS mengadakan program seperti ceramah dan himpunan, majoriti yang hadir ialah golongan muda.

Apakah isu utama yang dihadapi golongan muda yang perlu diambil perhatian?
Kalau mengikut tiga perkara penting iaitu isu moral atau akhlak, keduanya soal taraf hidup yang semakin menekan ditambah peluang mereka yang semakin terbatas dan ketiga adalah soal pembangunan itu sendiri atau persekitaran.

Dalam menghadapi PRU13 yang tidak lama lagi, bagaiman gerak kerja Pemuda PAS bersama-sama Pakatan Rakyat?

    Pemuda lebih banyak membuat program-program untuk mendengan keluhan rakyat khususnya golongan muda.  Apa yang mereka nak sekiranya kita berkuasa. Walaupun kita belum berkuasa, setakat mana yang kita mampu, kita buat dahulu dan perkara itu bergerak seperti kita jalankan program dan sebagainya.

Kita sampaikan apa masalah mereka kepada pucuk pimpinan itu sendiri dan kita minta bawa masalah mereka untuk diselesaikan. 

Di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyatm banyak program-program yang dilaksanakan memberi tumpuan kepada golongan muda.

Bagaimana tahap sokongan rakyat khususnya golongan muda dalam konteks negeri Perak itu sendiri dalam situasi sekarang?

    Berdasarkan kajian, Alhamdulillah ada peningkatan dari sehari ke sehari sebab prinsip kami senang, pada ketika ini sebagai orang muda seperti mana yang kita sedia maklum, mereka berminat untuk mendengar kedua dua belah pihak baik dari Pakatan Rakyat mahupun BN itu sendiri.

Mereka mahu melihat apa yang mereka dapat hasil daripada sokongan mereka.Tetapi untuk kita jelas menekankan bahawa apa yang kita perjuangkan soal kebajikan dan kita akan utamakan kehendak rakyat daripada kepentingan lain.

Apa cadangan utama Pemuda PAS ketika Pakatan Rakyat dapat mengambil alih kembali tampuk pemerintahan?

     Secara umum tuntutan orang muda terlalu banyak dan apa yang kami bawa adalah tiga perkara utama seperti yang saya nyatakan tadi termasuk soal kebajikan.

Blog Ustaz Fakhrulrazi : wacanafakhrulrazi.blogspot.com

Monday, October 1, 2012

Pelajar Kisdar terancam!


Bersama Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak berhubung Isu Kisdar.

____________________________________________________________

IPOH: PAS Perak menerusi Jawantankuasa Strategik dan Isu mendedahkan kepincangan yang kritikal mengenai pengurusan Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR).
 
Jurucakapnya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, akibat berlakunya kepincangan itu,status sijil-sijil graduan dan  transkrip kolej tersebut dikatakan diragui dan dipertikaikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 
 

“Dikatakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)  mempertikaikan status sijil ini kerana berlakunya satu pengurusan yang telah melanggar Warta Kerajaan Negeri,” katanya kepada Perakite Daily ketika membuat sidang media di Pejabat PAS Perak, hari ini.
 
Menurutnya, punca utama permasalahan ini ialah kegelojohan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Kadir yang tergesa-gesa membuat pindaan keatas enakmen asal bermula pada tahun 2009 melalui 3 persidangan DUN Perak ketika krisis peralihan kuasa berlaku.
 
Namun katanya, pindaan tersebut tidak pernah mendapat persetujuan dua pertiga majoriti daripada perwakilan sehinggalah ke hari ini dan dikatakan masih tidak mendapat perkenan Tuanku Sultan Perak. 
 
 
Beliau yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia menjelaskan, dengan adanya beberapa enakmen iaitu Enakmen asal 2002, Enakmen Pindaan 2009 dan Enakmen Pembubaran 2011 kepada enakmen asal KISDAR memperlihatkan kegagalan dan konflik telah berlaku di KISDAR.
 
“Ianya menjadi satu rungutan, keresahan, kesangsian dan menjadi satu tanda tanya kepada pelajar-pelajar kolej itu dan para ibubapa mereka, apabila sijil-sijil kolej itu sekarang ini sudah diragui oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
 
“Mengikut enakmen asal, setiap sijil perlu ditandatangani oleh Rektor dan Ketua Pendaftar namun sejak peralihan kerajaan oleh BN pada tahun 2009, penandatangan yang kedua iaitu Ketua Pendaftar telah ditukar kepada Setiausaha Senat. 
 
“Ini telah berlanggaran dengan enakmen asal sebagaimana yang tertulis didalamnya bahawa perlu ditandatangani oleh Pendaftar Kolej,” ujar beliau lagi.
 
Raja Ahmad Menjelaskan, apabila Enakmen Pindaan 2009 dan Enakmen Pembubaran yang masing-masing belum lagi disahkan dan diwartakan, maka ini bermaksud segala peraturan perlulah berasaskan kepada enakmen yang asal iaitu enakmen 2000. 
 
Ujar beliau, semua item-item sijil dan kewangan dan juga perjalanan gerak kerja kolej mestilah mendapat kelulusan dan ditandatangani oleh Ketua Pendaftar serta Rektor. 
 
“Tetapi sekarang ini dilihat semua sijil-sijil dan cek-cek ditandangani oleh Setiausaha Senat yang juga merupakan Timbalan Rektor, Pentadbiran dan Kewangan.
 
“Ini bermakna pentadbiran KISDAR ini telah bertentangan dengan enakmen asal dan secara umumnya melanggari perlembagaan negeri dimana Sultan Perak sebagai Ketua Negeri,” tegas beliau.
 
Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak itu berkata, dari segi undang-undang yang ada, semua aktiviti yang dijalankan sejak 2009 hingga kini adalah dianggap tidak sah.
 
Ini kerana katanya, Enakmen Pembubaran bagi memansuhkan kewujudan KISDAR dan ditukarkan kepada kewujudan Kolej Universiti Sultan Azlan Shah yang masih belum disahkan lagi namun ianya telah bergerak atas nama tersebut. 
 
Sekiranya perkara ini benar, ianya amat memalukan kerana iIni merupakan satu kesalahan yang sangat besar dan memalukan kerana sebuah badan berkanun dibawah kerajaan Negeri Perak, tidak mematuhi peraturan enakmen kerajaan sendiri.,” jelasnya lagi.

Pemuda PAS prihatin terhadap mangsa Rohingya






Dewan Pemuda PAS Perak (DPPM) melalui Lajnah Antarabangsa simpati dengan nasib saudara muslim Rohingya di Myanmar yang dizalimi.

Puluhan ribu umat Islam itu dibunuh dengan kejam termasuklah dibakar dalam keadaan yang sangat menyedihkan.

Ketua Lajnah Antarabangsa DPPM, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss yang juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak berkata, pelbagai usaha telah diusahakan dan akan dibuat untuk membantu etnik tersebut.

Antaranya ialah program kesedaran masyarakat terhadap kezaliman tersebut dan mengumpul dana bagi mengurangkan beban mereka.

Katanya, pihaknya baru-baru ini telah dijemput oleh stesen televisyen JAKTV yang berpangkalan di Indonesia bagi menerangkan serta memperjelaskan suasana yang dihadapi oleh etnik Rohingya dan ianya telah diwakili oleh Timbalan Ketua Lajnah Antarabangsa DPPM, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar yang juga merupakan Bendahari Pemuda Perak.

Disamping itu, Naib Ketua DPPM itu menjelaskan, pihaknya juga telah pergi ke Negara Myanmar  baru-baru ini bersama Ketua Pengarah Mobilisasi Kemanusian DPPM Sdr Adram Musan dan Ketua Unit Perubatan Lajnah Antarabangsa Dr Rosli Alani Abdul Kader dan menyampaikan bantuan melaui Presiden Majlis Hal Ehwal Islam Myanmar, Hjj Nyunt Maung Shein yang merupakan koordiantor umat Islam di Myanmar.

DPPM juga telah bertemu dengan Ketua Ahli Parlimen Muslim Myanmar, MP U Shwe Maung Abdul Razak untuk membincangkan pelan tindakan bersepadu bagi membangunkan umat Islam Rohingya Arakan dan mendapatkan gambaran sebenar.

 Dalam Perkembangan berkaitan, Raja Ahmad menjelaskan, pihaknya dalam perancangan untuk menghantar bantuan seperti pasukan perubatan, pakaian, ubat-ubatan dan makanan melaui jalan laut dan udara dalam masa terdekat.

Tambahnya, pihaknya masih memerlukan bantuan daripada orang ramai bagi menjayakan program ini dan sesiapa yang bermurah hati bolehlah menyumbang  Dewan Pemuda PAS Perak juga sedang giat mengumpul dana untuk Rohingya dan sumbangan boleh diacukan di akaun Maybank, 558015001720 atas nama Perak Care.

 


Monday, January 30, 2012

Pembangunan Perak : BN hanya pandai berjanji


IPOH: Pemuda PAS Perak kesal dengan kerajaan kerana projek Lebuhraya Pantai Barat yang telah dijanjikannya belum terlaksana.

Bendaharinya, Ustaz Fakhrulrazi berkata projek tersebut yang telah dijanjikan pada akhir November 2006 masih belum menampakkan hasilnya.

“Pemuda PAS Perak tegaskan akan menyokong usaha pembangunan di Perak dan tidak bersikap menghalang pembangunan demi kebaikan rakyat kerana pembangunan adalah hak rakyat yang perlu diberikan,” katanya.

Malah, selain projek tersebut, satu lagi projek besar yang dijanjikan iaitu landasan keretapi daripada Ipoh ke Lumut dan keadaanya sebegitu juga.

“BN ternyata bermuka-muka kerana hanya pandai berjanji di depan rakyat tetapi tidak melaksanakan apa yang dijanjikan,” ujarnya.

Jesteru itu, Pemuda PAS mendesak agar BN segera melaksanakan pembangunan yang disebut dan tidak lagi memperdayakan rakyat dengan janji-janji kosong yang hanya sebagai ‘gula-gula’ semata-mata.

“Marilah kita menunggu janji-janji BN terutama apabila hampir pilihanraya dan bila pula akan terlaksananya nanti,” sindir beliau.