IPOH: Dewan Pemuda PAS Perak melihat Perhimpunan Agong Umno
(PAU) kali ini seoalah-olah tiada arah tuju.
Bendaharianya, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar berkata, pimpinan
dan perwakilan menggunakan perhimpunan kali ini sebagai medan untuk menghentam
dan memfitnah Pakatan Rakyat.
Katanya, pimpinan Umno hanya sibuk menghentam Pakatan Rakyat
dan tiada langsung usaha gerak kerja dan strategi yang dicadangkan serta
dibincangkan untuk menghadapi PRU13.
“Semua perwakilan daripada pemuda, wanita dan pimpinan tertinggi
hanya menghentam dan memfitnah sebaliknya tiada langsung idea, strategi, dan
gerak kerja yang bernas dilontarkan daripada perwakilan,” katanya.
Menurutnya, perwakilan seharusnya menggunakan perhimpunan
kali ini untuk memuhasabah diri dan mencari punca kenapa sokongan masyarakat
kepada parti itu semakin berkurang.
Fakhrulrazi berkata, pemimpin Umno seolah-olah meragui akan
kesetiaan ahli sendiri apabila terus menyarankan agar tidak mempercayai agenda
Pakatan Rakyat.
“Mereka seolah-olah tidak yakin dengan sokongan ahli sendiri
dan berusaha untuk memberi kepercayaan tinggi ahli kepada Umno,” kata beliau
lagi.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda
PAS Malaysia menjelaskan, suasana ini menggambarkan Umno semakin terdesak untuk
meraih sokongan termasuk ahli sendiri.
Ketika ditanya tentang permohonan maaf yang diajukan oleh
Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya, beliau berkata,
ternyata Najib mengakui pelbagai kekhilafan dan kezaliman yang telah dibuat
sepanjang lebih 55 tahun memerintah.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Najib menganggap
kesilapannya adalah perkara biasa dan mudah sahaja meminta maaf.
Kata beliau, Najib seharusnya berundur dan melepaskan
jawatannya jika beliau benar-benar insaf akan perbuatannya seperti yang
dilakukan oleh pemimpin-pemimpin di Negara lain.
“Permohonan maaf tersebut menggambarkan pelbagai kezaliman
yang telah Umno lakukan sebelum ini dan Najib melihat perkara ini sangat kecil
dan mudah dimaafkan.
“Sebenarnya rakyat akan memohon maaf kepada Umno kerana
tidak lagi memberi sokongan kepada mereka dalam pilihanraya yang akan datang,”
tegas beliau.
No comments:
Post a Comment